Rosli Ingkar arahan Mahkamah

Bapa mentua Dr Rosli Allani Abdul Kadir menganggap bekas ketua penerangan Pemuda Pas Kelantan itu melarikan anaknya dan beliau akan berusaha mencari mereka.

“Saya akan terus mencari mereka hingga ke lubang cacing bagi mengembalikan hak saya sebagai seorang bapa dan ketua keluarga,” kata Mohd Noor Che Man di sini, hari ini.

Semalam, Mohd Noor, 58, dan beberapa rakannya mengepung rumah didiami Rosli, 35, dan anaknya, Nor Ilyani, 30, yang dikatakan mengingkari arahan Mahkamah Syariah supaya tinggal berasingan sementara (mufarakah) selepas kesahihan perkahwinan mereka diragui kerana disyaki dijalankan oleh satu sindiket di Selangor.

Bagaimanapun, pada 9 pagi tadi, Rosli dan Nor Ilyani berjaya melarikan diri dengan sebuah kereta yang sedia menunggu di pintu masuk rumah sewanya di Lorong Masjid Mustaqim, Telipot, dekat sini, walaupun ketika mereka masih dikepung oleh keluarga Mohd Noor.

Pada 21 November lalu, Rosli diperintah oleh Mahkamah Syariah supaya tinggal berasingan dengan Nor Ilyani yang juga adalah isteri keduanya selepas mendapati perkahwinan mereka menimbulkan keraguan.

Mohd Noor berkata, beliau menyerahkan kepada Mahkamah Syariah untuk menentukan tindakan lanjut terhadap anak dan menantunya itu.

Katanya, beliau hanya mengambil tindakan apa yang termampu mengikut bidang kuasa dan tanggungjawab yang ada pada seorang bapa.

“Tindakan lain yang di luar bidang kuasa, saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lanjut,” katanya. – Bernama

PAS Selangor Didesak Keluar Pakatan Rakyat

Sekumpulan lelaki yang menggelarkan diri mereka penyokong dan pengundi PAS Selangor hari ini mendesak parti itu keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) yang memerintah negeri itu kerana didakwa gagal memperjuangkan Islam serta nasib kaum Melayu.

Kira-kira 20 orang yang berhimpun secara aman itu berarak sejauh 500 meter ke perkarangan pejabat Badan Perhubungan PAS negeri yang terletak di Pusat Perniagaan Worldwide di sini kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.

Kumpulan berkenaan turut membawa kain rentang dan sepanduk tertera ‘Kami Tidak Rela PAS Jadi Boneka DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Kami Desak PAS Keluar Pakatan Rakyat, Jangan Musnahkan Amanah Yang Diberikan Rakyat dan Jangan Jadi Kuda Tunggangan Anwar.

Jurucakap kumpulan itu, Wan Hilman Wan Abd Rahim berkata, bantahan tersebut dibuat kerana mereka mahu PAS bangkit daripada mengikut telunjuk DAP dan PKR yang didakwa membelakangi parti itu dalam banyak isu pentadbiran di negeri itu.

“PAS boleh bergerak sendiri, selama ini keputusan yang dibuat tidak sampai dan kita banyak ikut telunjuk mereka (DAP dan PKR).

“Kami tidak puas hati dengan cara kerajaan negeri Selangor menjaga kebajikan rakyat terutamanya dalam isu yang melibatkan Islam dan kepentingan orang Melayu.

“Kita ahli PAS Selangor mahu PAS bangkit kerana kita lihat semua perkara sudah jadi kacau-bilau jadi kita cuba bangkitkan semua ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Wan Hilman yang mendakwa ahli PAS Bahagian Gombak turut menafikan dakwaan kononnya kumpulan itu dibiayai oleh Umno atau Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tak ada. Kita tidak didalangi Umno, Anwar atau mana-mana pihak. Kita biayai sendiri dan apa yang kita buat hari ini datang daripada hati kita sendiri, tidak ada sokongan daripada mana-mana pihak,”ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya akan cuba menyampaikan memorandum berkenaan kepada Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Hassan Ali esok pagi.

“Insya-Allah kita akan cuba hantar esok dan kita akan tengok masa yang sesuai nanti,” ujarnya.
Petikan mstar online.