PKR Kuala Selangor Diketuai Khalid Ibrahim 'Lumpuh' Ramai AJK Letak Jawatan

Parti Keadilan Rakyat cabang Kuala Selangor yang diketuai Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dianggap "lumpuh" setelah 11 anggota jawatankuasanya yang dipilih serta ketua pemuda dan wanitanya meletak jawatan kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan beliau.

Malah menurut timbalan ketua cabang itu, Arshad Abu Bakar, cabang itu telah bubar kerana kini hanya tinggal tiga pemimpinnya yang dipilih terdiri beliau sendiri, Khalid serta seorang AJK, Faridah Abdul Rahman.

Bercakap kepada pemberita Rabu, beliau berkata 11 AJK cabang serta Ketua Angkatan Muda, Nazarudin Darmawan, dan Ketua Wanita, Fauziah Sulaiman, meletak jawatan antara November tahun lepas dan 18 Jan tahun ini.

Katanya mereka yang meletak jawatan itu bagaimanapun masih kekal sebagai anggota PKR tetapi mereka telah hilang kepercayaan terhadap Abdul Khalid untuk menerajui cabang Kuala Selangor.

Mereka mendakwa Abdul Khalid telah meletakkan PKR Kuala Selangor dalam keadaan "penuh kecelaruan" tanpa asas tadbir urus yang kukuh.

Arshad berkata sejak 14 bulan lepas, AJK cabang itu gagal mengadakan mesyuarat mengakibatkan tiada sebarang gerak kerja dan aktiviti parti dapat dijalankan.

Beliau berkata Abdul Khalid tidak mengambil inisiatif memperkukuhkan parti meskipun ada ahli bukan Melayu di Ijok dan Batang Berjuntai telah keluar parti.

Ketika diminta mengulas kenyataan Arshad itu, Khalid menafikan cabang PKR Kuala Selangor itu telah dibubarkan.

Bercakap kepada pemberita di sini selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, beliau berkata tidak ada mesyuarat diadakan untuk membubarkan cabang itu.

"Pemilihan akan berlaku tahun ini untuk AJK baru pada Mac. Itulah sebabnya sesetengah nak berhenti," katanya.

Khalid berkata krisis seperti itu adalah satu perkara biasa kepada beliau.

"Mereka yang tidak sealiran dan tidak sehaluan lebih baik keluar daripada menyukarkan parti untuk diurus," katanya.

Khalid berkata bahawa pada awal 2007 PKR Kuala Selangor mempunyai tidak sampai 100 orang ahli tetapi sekarang bilangannya adalah 3,000 orang.

"Alasan hilang kepercayaan itu perkara biasa...ataupun ayat itu ditulis oleh Umno untuk dia (Arshad) cakap," katanya.

-- BERNAMA

Rosli Ingkar arahan Mahkamah

Bapa mentua Dr Rosli Allani Abdul Kadir menganggap bekas ketua penerangan Pemuda Pas Kelantan itu melarikan anaknya dan beliau akan berusaha mencari mereka.

“Saya akan terus mencari mereka hingga ke lubang cacing bagi mengembalikan hak saya sebagai seorang bapa dan ketua keluarga,” kata Mohd Noor Che Man di sini, hari ini.

Semalam, Mohd Noor, 58, dan beberapa rakannya mengepung rumah didiami Rosli, 35, dan anaknya, Nor Ilyani, 30, yang dikatakan mengingkari arahan Mahkamah Syariah supaya tinggal berasingan sementara (mufarakah) selepas kesahihan perkahwinan mereka diragui kerana disyaki dijalankan oleh satu sindiket di Selangor.

Bagaimanapun, pada 9 pagi tadi, Rosli dan Nor Ilyani berjaya melarikan diri dengan sebuah kereta yang sedia menunggu di pintu masuk rumah sewanya di Lorong Masjid Mustaqim, Telipot, dekat sini, walaupun ketika mereka masih dikepung oleh keluarga Mohd Noor.

Pada 21 November lalu, Rosli diperintah oleh Mahkamah Syariah supaya tinggal berasingan dengan Nor Ilyani yang juga adalah isteri keduanya selepas mendapati perkahwinan mereka menimbulkan keraguan.

Mohd Noor berkata, beliau menyerahkan kepada Mahkamah Syariah untuk menentukan tindakan lanjut terhadap anak dan menantunya itu.

Katanya, beliau hanya mengambil tindakan apa yang termampu mengikut bidang kuasa dan tanggungjawab yang ada pada seorang bapa.

“Tindakan lain yang di luar bidang kuasa, saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lanjut,” katanya. – Bernama