PKR Kuala Selangor Diketuai Khalid Ibrahim 'Lumpuh' Ramai AJK Letak Jawatan

Parti Keadilan Rakyat cabang Kuala Selangor yang diketuai Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dianggap "lumpuh" setelah 11 anggota jawatankuasanya yang dipilih serta ketua pemuda dan wanitanya meletak jawatan kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan beliau.

Malah menurut timbalan ketua cabang itu, Arshad Abu Bakar, cabang itu telah bubar kerana kini hanya tinggal tiga pemimpinnya yang dipilih terdiri beliau sendiri, Khalid serta seorang AJK, Faridah Abdul Rahman.

Bercakap kepada pemberita Rabu, beliau berkata 11 AJK cabang serta Ketua Angkatan Muda, Nazarudin Darmawan, dan Ketua Wanita, Fauziah Sulaiman, meletak jawatan antara November tahun lepas dan 18 Jan tahun ini.

Katanya mereka yang meletak jawatan itu bagaimanapun masih kekal sebagai anggota PKR tetapi mereka telah hilang kepercayaan terhadap Abdul Khalid untuk menerajui cabang Kuala Selangor.

Mereka mendakwa Abdul Khalid telah meletakkan PKR Kuala Selangor dalam keadaan "penuh kecelaruan" tanpa asas tadbir urus yang kukuh.

Arshad berkata sejak 14 bulan lepas, AJK cabang itu gagal mengadakan mesyuarat mengakibatkan tiada sebarang gerak kerja dan aktiviti parti dapat dijalankan.

Beliau berkata Abdul Khalid tidak mengambil inisiatif memperkukuhkan parti meskipun ada ahli bukan Melayu di Ijok dan Batang Berjuntai telah keluar parti.

Ketika diminta mengulas kenyataan Arshad itu, Khalid menafikan cabang PKR Kuala Selangor itu telah dibubarkan.

Bercakap kepada pemberita di sini selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, beliau berkata tidak ada mesyuarat diadakan untuk membubarkan cabang itu.

"Pemilihan akan berlaku tahun ini untuk AJK baru pada Mac. Itulah sebabnya sesetengah nak berhenti," katanya.

Khalid berkata krisis seperti itu adalah satu perkara biasa kepada beliau.

"Mereka yang tidak sealiran dan tidak sehaluan lebih baik keluar daripada menyukarkan parti untuk diurus," katanya.

Khalid berkata bahawa pada awal 2007 PKR Kuala Selangor mempunyai tidak sampai 100 orang ahli tetapi sekarang bilangannya adalah 3,000 orang.

"Alasan hilang kepercayaan itu perkara biasa...ataupun ayat itu ditulis oleh Umno untuk dia (Arshad) cakap," katanya.

-- BERNAMA

2 comments:

d said...

Salam Perjuangan,

JUTAAN TERIMA KASIH kerana sudi melayari blog saya dan menghantar komen2 bernas bagi setiap artikel yang saya pamerkan..

Tidak dapat dinafikan komen2 anda telah memberi idea dan peransang untuk memperbaiki memantapkan penulisan2 saya di blog.

Blog anda juga sangat mengagumkan..

Saya telah link blog anda di blog pilihan Gelombang Rakyat..

Salam Perpaduan dan Salam 1Malaysia.

Melayu CinDia
Blogger Gelombang Rakyat

http://gelombang-rakyat.blogspot.com/

Unknown said...

Sama-sama kita berjuang untuk yang terbaik..hehe :D
TQ..
bayausbh.blogspot.com

Post a Comment